Sabtu, Januari 16, 2010

Al-Qur`an Mempersonakan Ramai Cendikiawan (i)


بسم الله الرحمن الرحيم ~
Assalamualaikum...w.b.t
Hari ana tidak akan mengarang tetapi ana ingin memetik satu tajuk yang menarik daripada buku yang baca. Tajuk buku ini ialah"Pasak Pengukuhan Akidah Menerusi Penghayatan Sains Dalam al-Qur`an" hasil karya Dr. Mohd. Arip Hj. Kasmo. Dalam kandungan buku ini banyak bahagian, satu bahagian pun banyak tajuk kecilnya...semua apa yang terkandung dalam buku ini semuanya menarik..tapi ana pilih satu tajuk kecil yang bertajuk "al-Qur`an Mempersonakan Ramai Cendikiawan".

Sebelum ana meneruskan tajuk ini, ana nak cerita sedikit mengenai latarbelakang penulis ni. Dr. Mohd Arip b. Kasmo dilahirkan di Batu Pahat Johor pada tahun 1957. Mendapat Pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tenaga Sepakat. Kemudian Melanjutkan pendidikan di Sekolah Menengah Inggeris Yong Peng sehingga tingkatan tiga dan berpindah ke Sekolah Menengah Sains Johor di Keluang, Johor. Setelah memperolehi Malaysian Certificate of Education (MCE), beliau telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Blackpool College of Science and Art. Blackpool, Lanchashire. Pada tahun 1978, beliau melanjutkan pelajaran di University College of Swansea, Wales dalam bidang Zoologi. Setelah kembali ke Malaysia, beliau menjadi guru sains di Sekolah Menengah Sultan Alauddin Ria`ayat Shah, Pagoh, Muar dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu Seremban. Beliau memperolehi Sarjana Pendidikan dan PhD dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Kini beliau bertugas sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Umum, UKM, Bangi. Modul Penghayatan Sains Dalam al-Qur`an merupakan judul tesis PhD beliau.

Al-Qur`an Mempersonakan Ramai Cendikiawan

Hadith Nabi Muhammad s.a.w. menyatakan bahawa "al-Qur`an adalah mukjizat yang akan dijaga Allah sehingga hari Kiamat dan apabila ada orang yang musyrik membacanya mereka akan kata bahawa al-Qur`an bukan daripada manusia atau makhluk-makhluk lain". Hadith Nabi mengenai al-Qur`an ini terbukti kebenaran apabila terdapat ramai cendikiawan yang terpesona dengan al-Qur`an lalu menganut Islam. Di antara mereka ialah:

Dr. Jefry Lang

Dr. Jefry Lang merupakan seorang pensyarah dalam bidang matematik di University of Kansas di Amarika Syarikat. Beliau dilahirkan pada tahun 1954 dalan keluarga Katholik di Bridgeport, Connicticut. Selama 18 tahun beliau menuntut di sekolah Katholik dan pelbagai persoalan tentang ketuhanan dan agama Kristian tidak memuaskan hati beliau. Menjelang umurnya 18 tahun beliau telah menjadi seorang ateis. "Sekiranya ada Tuhan dan Dia amat mengasihani mengapakah wujud penderitaan di dalam dunia ini". Itulah soalan yang sering muncul dibenaknya ketika itu. Sebagai seorang pensyarah muda dalam bidang matematik di University of San Francisco, beliau telah menemui Tuhan sebagai satu realiti. Perkara tersebut telah ditunjukkan oleh beberapa orang rakannya yang beragama Islam di universitinya. Seorang rakannya telah memberikan kepada beliau senaskah al-Qur`an dan beberapa buah buku mengenai agama Islam. Beliau telah membaca al-Qur`an secara sendirian dan beliau telah terpesona oleh al-Qur`an. Menurut beliau, dua surah yang pertama yang telah dibacanya adalah sangat menarik hati. Apabila beliau ditanya mengapakah dia tertarik dalam al-Qur`an sedangkan al-Qur`an adalah dalam bahasa Arab yang asing baginya beliau berkata "Pelukis mampu menyebabkan mata sebuah potrait seakan-akan mengekori anda dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi adakah terdapat seorang pengarang menulis satu tulisan yang menjawab persoalan harian anda?"."Setiap malam aku akan merumuskan soalan-soalan dan penafian dan akan menemui jawapannya pada hari esoknya. Ia kelihatan seolah-olah pengarang al-Qur`an membaca pemikiranku", kata Lang

Kepada pertanyaan mengapa beliau mendapati bahawa al-Qur`an sungguh menawan baginya sedangkan ia ditulis dalam bahasa Arab. Lang menjawab: "Mengapakah seorang bayi dapat ditenangkan oleh suara ibunya?" Beliau berkata membaca al-Qur`an dapat memberi ketenangan jiwa kepadanya dan kekuatan dalam saat-saat beliau menghadapi kesusahan. Kini Dr. Jeffrey Lang terus melaksanakan tugas sebagai seorang da'i dengan menulis berbagai-bagai tajuk buku dan menyampaikan kuliah Islam. Antara buku karangan beliau ialah "Even Angels ask, A journey to Islam". Dalam buku tersebut Dr. Lang berkongsi dengan para pembacanya pandangan-pandangan yang telah membawanya kepada penemuan Islam dan peningkatannya dalam agama Islam.

Yusuf Islam

Yusuf Islam atau Cat Steven merupakan seorang penyanyi Inggeris yang sangat terkenal pada tahun 70-an. Yusuf Islam dilahirkan dalam sebuah keluarga Kristian Katholik yang kaya raya kerana perniagaan dalam bidang muzik. Menurut Yusuf Islam beliau telah diajar bahawa Tuhan itu wujud, tetapi menurut Yusuf dalam agama Kristian, tiada hubungan terus dengan Tuhan dan oleh sebab itu mereka terpaksa bergabung dengan Tuhan melalui Jesus Christ dan Jesus Christ merupakan jalan untuk sampai kepada Tuhan. Yusuf Islam menerima ajaran tersebut tetapi beliau tidak menerimanya bulat-bulat. Yusuf Islam  memerhatikan patung-patung Jesus Christ tetapi mengikut pandangannya patung-patung tersebut hanyalah batu-batu tanpa nyawa. Dan apabila mereka berkata bahawa Tuhan itu tiga, beliau menjadi hairan.

Penyanyi Pop

Menurut Yusuf Islam, lama kelamaan beliau mengabaikan agama Kristian dan beliau mula menyanyi dan bercita-cita menjadi seorang penyanyi yang terkenal. Semua yang dilihat di filem-filem dan media mempengaruhi beliau dan beliau berfikir bahawa itulah tuhannya, dan matlamat untuk mencari wang. Menurut Yusuf beliau mempunyai seorang bapa saudara yang memiliki sebuah kereta yang cantik dan berkata: "Dia telah berjaya. Dia mempunyai wang yang banyak". Orang-orang yang berada di sekeliling Yusuf telah mempengaruhinya untuk berfikir bahawa itulah matlamat yang sebenar dan dunia ini adalah tuhan mereka. Ketika itu Yusuf Islam telah terpengaruh dan berpendapat bahawa itulah cara hidup yang beliau mahukan, iaitu mencari wang yang banyak dan hidup bahagia. Idolanya ketika itu ialah penyanyi-penyanyi pop. Beliau mula menyanyi dan menulis lagu, tetapi jauh di dalam lubuk hatinya beliau mempunyai perasaan kemanusiaan dan berkata bahawa sekiranya ia menjadi kaya ia akan membantu orang-orang miskin. Akhirnya beliau menjadi sangat terkenal dan ketika itu masih lagi remaja tetapi nama dan gambarnya sudah tersebar di seluruh dunia. Menurut Yusuf Islam media telah membesar-besarkan dirinya dan oleh sebab itu beliau sendiri menjadi lebih  besar dari hakikat kehidupan itu sendiri dan caranya ialah dengan menjadi tahi arak dan menagih dadah.

Jatuh Sakit

Setahun selepas kejayaannya, beliau sakit tenat dan dijangkiti penyakit TB dan telah dimasukkan ke hospital. Pada ketika itulah Yusuf mula berfikir apa yang akan terjadi kepadanya. Apakah dirinya hanyalah jasmani semata-mata dan matlamat hidupnya hanyalah memuaskan jasmaninya sahaja. Beliau menyedari bahawa bala ini merupakan satu rahmat kepadanya daripada Tuhan, iaitu peluang untuknya membuka mata. "Mengapakah aku ada di sini? Mengapakah aku berada di katil ini?". Beliau cuba mencari jawapannya. Semenjak itu beliau telah berjinak-jinak dengan pelbagai agama termasuk agama Buddha tetapi agama Buddha bersifat menolak dunia, kemudian agama Zen dan Ching, nemerologi, tarot, dan astrologi. Beliau cuba membaca kembali Bible tetapi tidak menemui apa-apa di dalamnya. Pada masa itu beliau tidak tahu apa-apa Islam. Kemudian apa yang dianggap oleh beliau sebagai sesuatu masjid di Jerussalem di mana ia dipenuhi dengan manusia dan kehidupan sedangkan gereja-gereja dan synagogue (rumah ibadat Yahudi) kosong.

Menerima Hadiah al-Qur`an
Apabila abangnya datang ke London beliau telah membawakan Yusuf Islam senaskah al-Qur`an terjemahan. Abangnya tidak menganut agama Islam tetapi merasai bahawa terdapat sesuatu dalam agama Islam dan berpendapat bahawa Yusuf Islam juga akan menemui sesuatu dalam agama tersebut. Dan apabila Yusuf Islam memperolehi al-Qur`an beliau telah membacanya dan barulah beliau menyedari bahawa semua Nabi diutuskan oleh tuhan dengan membawa ajaran yang sama. Inilah keindahan al-Qur`an . Ia menyuruh manusia berfikir dan tidak menyembah bulan dan matahari. Apabila beliau terus membaca al-Qur`an, ia bercakap tentang do`a, kemurahan hati dan kebajikan. Ketika itu Yusuf Islam belum beragama Islam lagi, namun beliau merasai bahawa al-Qur`an  sahaja yang boleh memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan dan tuhan telah menghantarkan kepadanya, namun ia masih merahsiakannya. Tetapi al-Qur`an berkata dalam pelbagai tingkat. Yusuf Islam baru memahami tingkat yang lain.

Menganut Islam

Setelah lama Yusuf Islam berjinak-jinak dengan Islam akhirnya beliau mengucap dua kalimah Syahadah di hadapan imam besar Masjid Regent Park di London pada tahun 1977 iaitu satu tahun setengah selepas beliau menerima al-Qur`an daripada abangnya. Kini Yusuf Islam menjadi seorang pendakwah Islam yang gigih. Beliau telah menubuhkan Sekolah Islam di London dan aktif dalam kegiatan kebajikan.

Aminah AsSilmi


Sebelum menganut agama Islam Aminah AsSilmi merupakan seorang wanita yang menjadi ketua pembebasan wanita Amerika Syarikat. (Women Liberation). Beliau juga merupakan seorang penganut mazhab Baptist yang sangat kuat berpegang kepada agama Kristian. Sebelum menganut agama Islam, beliau terlalu prejudis dengan orang-orang Islam dan Arab menyebabkan beliau berusaha untuk mengkristiankan mereka. Aminah Assilmi pernah berkata kepada pelajar-pelajar Arab yang sedang menuntut di sebuah sekolah di Amerika Syarikat bahawa satu-satunya jalan untuk mereka selamat ialah dengan mengakui bahawa Nabi Isa sebagai penyelamat mereka.

Menurut Assilmi, pelajar-pelajar Arab tersebut bersikap lembut dan tidak marah kepadanya, malah ada seorang pelajar telah memberikannya senaskah al-Qur`an dan beberapa buah buku Islam. Aminah Assilmi berkata bahawa dengan al-Qur`an dan buku-buku yang telah diberikan oleh pelajar tersebut, beliau berlaku sebaliknya. Beliau tidak menyangka bahawa al-Qur`an yang dibacanya menyebabkan beliau semakin berminat untuk memahami agama Islam. Dan akhirnya beliau telah mengucap dua kalimah syahadah.

bersambung....

Tiada ulasan:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Akhirul Kalam...