Isnin, September 07, 2009

Menghayati makna, hikmah peristiwa Nuzul al-Quran

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
RAMAI pengkaji berselisih pendapat tarikh sebenar turunnya kitab suci al-Quran, namun mereka bersepakat mencatat peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan. Perkataan 'nuzul' (نزول ) bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jenayah, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya.
Firman Allah SWT: "Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)." (Al-An'am:38)

Nuzul al-Quran suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai 'kitab induk' panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Bukan setakat membaca, bahkan kita harus berusaha menyelidiki rahsia ilmu pengetahuan di dalamnya.
Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah Nabi SAW, ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada surah Al-'Alaq. maksudnya: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (al-'Alaq:1-5)
Nabi SAW banyak membaca al-Quran dalam bulan Ramadan. Maknanya Nabi juga belajar secara berguru iaitu dengan Jibril dan umatnya juga dituntut belajar dengan berguru. Nabi Muhammad juga mengulang-ulangi bacaan al-Quran begitu juga dengan para sahabat. Nabi bersabda maksudnya: "Semulia-mulia umatku ialah orang yang menghafaz al-Quran."
Antara faedah membaca al-Quran adalah;
  • Mampu mengusir bisikan syaitan terkutuk;
  • Menjadi penyebab meraih keredaan Allah SWT;
  • Memperoleh pahala yang banyak;
  • Membahagiakan rakan seperjuangan;
  • Menghapus kesalahan dan dosa;
  • Menjadikan wajah (pembaca al-Quran) berseri-seri;
  • Melapangkan hati dan fikiran, menjernihkan sanubari;
  • Melahirkan ketenteraman dalaman antara seorang hamba dengan Allah SWT;
  • Memelihara umur manusia;
  • Merangsang seorang hamba untuk terus melakukan kebaikan dalam hidup yang sementara;
  • Mengembali, menjernihkan hati kepada Allah untuk meningkatkan kualiti hubungan dengan-Nya.
sumber

Tiada ulasan:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Akhirul Kalam...