Sabtu, September 19, 2009

:: Tazkirah Aidilfitri ::



Esok adalah hari seluruh umat Islam bersatu melaungkan kebesaran Allah Azza wa Jalla . Ia merupakan
laungan kesyukuran dan penghambaan kepada Tuhan yang satu yang telah mengurniakan segala bonus lumayan di sepajang Ramadhan. Laungan yang penuh dengan tahmid dan tauhid ini adalah sebagai menyatakan kesyukuran setelah umat islam berjaya menjadikan Ramadhan yang telah kita lalui sebagai madrasah yang mengembalikan kita kepada asal fitrah kita sebagai hamba yang akhirnya membawa kita mendukung segala tanggungjawab kita sebagai hamba di hadapan Allah s.w.t.

Oleh sebab itu, hari ini umat Islam dianjurkan untuk berpakaian yang baru, berkunjungan, berpesta dan berhibur untuk menghidupkan suasana ceria dalam sambutan hari besar umat Islam ini. Namun hiburan dan keceriaan yang kita maksudkan bukanlah hiburan melampau dan sesat seperti yang disediakan oleh kebanyakan media dan televisyen saban tahun. Pengisian raya yang menderhakai Allah dengan rancangan2 yang tidak mengajak kepada kebesaran Allah dan rancangan mungkar yang tidak ketahuan telah mencemarkan sambutan kita meraikan kemenangan kembali kepada fitrah dalam menjunjung segala perintah dan menjauhi segala larangannya

--------------------------------------------------------------------------------

Firman Allah dalam surah Al-baqarah ayat 185:
Ertinya : dan supaya kamu menyempurnakan puasa di hari-hari Ramadhan, lalu kamu hendaklah membesarkan Allah dengan takbir dan tahmid kerana telah mendapat petunjuknya di bulan Ramadhan. Semoga kamu bersyukur.

--------------------------------------------------------------------------------


Rasulullah saw dalam hadis riwayat At-tobarani menyebut;

Ertinya: hiasilah hari raya kamu dengan laungan Takbir membesarkan Allah.

 --------------------------------------------------------------------------------


Eidul Fitri ini sangat besar dalam erti menghidupkan jiwa kehambaan kepada Allah. Rasulullah saw bersaba di dalam riwayat ibnu majah:

Ertinya : Sesiapa yang menghidupkan malam hari raya dengan penuh mengharapkan keredhaan Allah maka hatinya tidak akan mati sebagaimana matinya hati-hati mereka yang kufur dan ingkar pada hari dimatikan hati-hati manusia.

 --------------------------------------------------------------------------------


Oleh itu, janganlah Eidul Fitri kali ini kita mencemarkan ibadah raya ini dengan tertipu dan terpana dengan rancangan mungkar yang disediakan oleh media. Media dan televisyen seharusnya bertanggungjawab menghormati hari raya dan umat islam itu sendiri dengan menyiarkan program-program yang bersesuaian dengan ajaran Islam. Amat malang jika tujuan Hari Raya untuk kita membesarkan Allah dan bergembira dengan disiplin dan peraturan yang ditentukan syarak, tiba-tiba siaran media kita menyiarkan apa yang bertentangan dengan itu.

Launagan takbir dan tahmid yang kita sorakkan sempena Aidil fitri ini juga merupakan laungan kemenangan Islam Agama suci ke atas gabungan musuh yang menentang Islam. Sebuah kemenangan yang berpaksi kepada ajaran tauhid , mengesa dan mengagongkan Allah Jalla wa A’la .

“ Tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah Tuhan Yang Maha Esa , Tuhan Yang Telah benarlah JanjiNya , Tuhan Yang Telah Memberi Kemenangan kepada HambaNya dan Tuhan Yang telah Memberi keperkasaan kepada TenteraNya dan Tuhan Yang telah Membinasakan Tentera Ahzab dengan segala keEsaanNya .

Tiada Tuhan Yang layak disembah melainkan Allah dan Allah adalah Tuhan Yang Maha Agong……….. Allah Tuhan Yang Maha Agong dan kembali kepada Allah segala Kepujian “.

Selain itu laungan ini juga mengajak kita menginsafi hakikat kejadian manusia di muka bumi selain mengajak manusia kembali kepada asal fitrah manusia sebagai hamba yang sepatutnya menjunjung segala amanah dan perintah Allah selain menjauhi segala larangan Tuhan Sang Pencipta.

Sedarkah kita bahawa umat semakin tenat?

Ibubapa sibuk memburu kemewahan dunia sehingga anak terabai tanpa didikan dan asuhan yang sempurna. Hilang kasih sayang , lekang kemesraan dan hancur adab susila . Keluarga sedemikian hanyalah melahirkan anak yang liar tanpa kawalan , isteri durhaka tanpa rasa hormat kepada suami dan ketua keluarga yang tidak bertanggungjawab dan dayus tanpa rasa bersalah.

Golongan remaja pula mereka hanya dilingkari hiburan dan rakan sebaya yang tidak membantu pertumbuhan jati diri yang berwibawa dan bertaqwa . Masa depan mereka tidak terarah kepada positif. malah ramai yang terjebak dalam dunia maksiat yang keji dan jenayah yang jijik. Mereka menyumbang kepada peningkatan taraf index jenayah yang menggugat rasa aman dalam Negara.

Bukan kata golongan remaja sahaja yang bermasalah, tetapi golongan tua dan veteran yang diharap sebagai pembimbing juga terlalu banyak yang terlanjur dengan gejala yang membimbangkan. Pendek kata, semua lapisan masyarakat berhadapan dengan keruntuhan akhlak dan krisis agama yang sangat membimbangkan. Jika keadaan ini tidak disedari dan diberi perhatian oleh kita semua, kita bimbang keadaan ummat islam yang semakin tenat ini akan bertambah hancur.

Bersempena eidil fitri kali ini, marilah sama-sama kita menginsafi segala ketelanjuran kita di hadapan Allah dan saling merenung kesilapan kita sesama makhluk Allah.

Eidul Fitri ini bukan sekadar harus dipupuk semangat bermaafan sahaja, Malah bagi mereka yang mampu dianjurkan membantu golongan yang kurang senang untuk sama-sama menyambut Eidul Fitri dengan penuh kegembiraan. Namun harus diingat, lebih dari itu marilah bersempena Eidul Fitri tahun ini kita menghidupkan kembali suasana Amar Makruf Nahi Munkar dalam kehidupan bermasyarakat. Sesungguhnya adalah tanggungjawab dan amanah kita bersama membetulkan segala kesilapan masyarakat kita.

Apakah kita layak menyambut Sambutan Besar umat Islam kembali kepada asal fitrah sebagai hamba Allah yang suci bersih dengan rahmat, pengampunan dari segala dosa dan pembebasan dari Azab neraka Allah yang kita telah dilatih sebulan Ramadhan ini?

Marilah bersempena Eidul Fitri ini, kita merenung suatu kaedah dan cara yang boleh kita ambil dalam pelbagai ruang dan kesempatan untuk mengembalikan masyarakat Islam kepada ajaran Islam yang betul. Marilah sebagai ibu atau bapa, sebagai guru, pendidik atau seumpamanya, sebagai anak-anak dan adik beradik, sebagai teman-teman dan sahabat-sahabat dan sebagai anggota masyarakat, kita berfikir bagaimana untuk kita bersama mengangkat maruah Islam yang kita sendiri telah rendahkannya. Marilah kita berfikir bagaimana mahu menyelamatkan anak-anak, saudara mara, sahabat handai, jiran tetangga dan masyarakat kita dari terus hanyut sesat dalam kancah gejala sosial, akhlak dan aqidah umat akhir zaman hari ini.

Akhirnya, marilah sempena Eidul Fitri kali ini sama-sama kita merenung sepotong ayat Al-Quran untuk mengisi sambutan dan pesta manusia kembali kepada fitrah insani sebenar yang tidak tercemar.

--------------------------------------------------------------------------------


Toha ayat 124 – 128.

" Barangsiapa yang berpaling tadah dan tidak mengikut Preingatanku (ALLAH) dari kitab Al-quran maka baginya kehidupan yang pincang lagi kelam kabut. Dan Kami (Allah) akan himpunkan orang tadi pada hari kiamat nanti dalam keadaan buta."

Lalu berkatalah orang tersebut : Wahai Tuhanku mengapakan engkau bangkitka aku dalam keadaan buta sedangkan dulu di dunia aku dapat melihat?

Allah menjawab : Begitulah jadinya. Sebenarnya telah dating kepada kamu peringatan dan ayat-ayatKu tetapi kamu sengaja melupainya. Maka sepertimana kamu biarkan dan tinggalkan ayat-ayatku, hari ini kami pula yang akan membiarkan kamu. Demikian juga kami akan membalasi sesiapa yang melampau dan tidak mempercayai peringatan Tuhan-Nya.

Sedarlah azab Allah itu sangat pedih lagi berkekalan.

Adakah mereka mereka tidak mengambil iktibar dan mendapat petunjuk tentang sudah berapa ramai golongan-golongan kufur dan ingkar dahulu yang telah kami binasakan sedangkan mereka itu berjalan dan melilau di tempat yang sama pernah dijalan oleh golongan yang dimusnahkan terdahulu.

"Ingatlah, sesungguhnya itu semua merupakan petunjuk kepada mereka yang ada akal."


Tiada ulasan:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Akhirul Kalam...