Isnin, Februari 28, 2011

Menimbang Darjat Di Sisi Allah

0 Komen
(Gambar Hiasan)

Rasulullah SAW bersabda, “Siapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah maka hendaknya memperlihatikan bagaimana kedudukan Allah dalam hatinya. Maka sesungguhnya Allah menempatkan (mendudukkan) hamba-Nya sebagaimana hamba itu mendudukkan Allah dalam jiwanya (hatinya).”


Saudaraku, yang termahal dalam hidup adalah keyakinan kepada Allah. Semakin kuat dan mendalam keyakinan kita pada Allah maka semakin beruntung hidup kita. Betapa tidak, ketika itulah kita telah memiliki sesuatu yang termahal dalam hidup.

Apalah ertinya kita memiliki kekayaan melimpah bila hati kita miskin dari mengenal Allah. Apalah ertinya kita dikenal orang ramai bila kita tidak mampu mengenal Allah. Apalah ertinya kita memiliki jawatan tinggi, bila kedudukan kita rendah di hadapan Allah. Intinya, semua yang ada selain Allah adalah cubaan dan fitnah belaka. Walu memiliki dunia kedudukan kita akan rendah bila tidak mengenal Allah.

Sangat mudah bagi kita untuk mengetahui tinggi rendahnya darjat diri di sisi Allah. Pertama, dari frekuensi atau kekerapan ingatan. Dalam 24 jam waktu yang kita miliki setiap hari, berapa jam kita mengingati Allah? Ketika solat apakah kita ingat Allah atau ingat yang lain? Ketika kita makan apakah kita ingat pada zat yang mengurniakan makanan tersebut atau malah mencela makanan? Ketika pergi bekerja, apakah kita sudah meniatkannya sebagai sarana ibadah atau sekadar mencari wang? Ketika dalam perjalanan, apakah kita sibuk berzikir serta mentafakurkan ayat-ayat Allah atau malah mata kita liar memandang sekeliling? Bila hati kita selalu menyambung kepada Allah dalam apapun jua keadaan maka sesungguhnya Allah telah meninggikan darjat.

Kedua, sejauh mana usaha kita untuk ‘menyenangkan’ Allah. Tinggi rendahnya darjat kita di sisi Allah dapat terlihat dari senang tidaknya kita melakukan Amalan yang dicintai Allah dan Rasul-Nya. Allah menyukai solat berjemaah yang 27 kali ganda pahalanya daripada solat sendirian. Apakah kita termasuk orang yang bersegera pergi ke masjid tatkala azan berkumandang atau malah sibuk dengan urusan dunia? Allah menyukai kedermawanan. Apakah kita sudah termasuk orang yang dermawan? Allah menyukai hamba-hamba yang dekat dengan al-Quran. Apakah kita telah bersungguh-sungguh berinteraksi dengan al-Quran? Semakin kita gigih ‘menyenangkan’ Allah dengan melakukan amalan yang dicintai-Nya, insya-Allah darjat kita akan tinggi di sisi-Nya.

Ketiga, sejauh mana kegigihan kita menghindarkan diri dari maksiat. Salah satu ciri kedekatan seorang hamba dengan Allah terlihat dari kesungguhannya dalam menjauhi maksiat. Adalah kenyataan bila manusia tidak akan pernah luput dari dosa. Namun orang-orang yang berkedudukan tinggi di sisi Allah akan segera bertaubat ketika ia terjerumus ke dalam maksiat. Ia menyesal, kemudian berazam untuk tidak mengulangi kesalahan dan menggantikannya dengan kebaikan yang lebih banyak. Sebaliknya orang yang jauh dari Allah akan bahagia dengan dosa, tidak memiliki penyesalan dan mengulanginya lagi di lain kesempatan.

Saudaraku, jangan ada yang ditakutkan dalm hidup ini kecuali takut tidak dapat mengenal Allah. Harta, pangkat, jawatan, kemasyuran atau ketampanan rupa sama sekali tidak bernilai bila hati kita kosong atau gagal dari mengingati Allah. Maka kita harus mulai mengubah cita-cita hidup: Cukuplah menjadi orang yang bermanfaat bagi manusia dan berkedudukan tinggi di hadapan Allah. Wallahualam.

Sabtu, Februari 12, 2011

Puisi: BICARA HATI SEORANG PEREMPUAN


Segala puji hanya bagiMu Tuhan
Lantaran telah menjadikan daku – seorang perempuan
Dicipta dari tulang rusuk kiri Adam
Dengan seindah dan sebaik ciptaan

Daku…..
Si tulang bengkok
Yang KAU gubah dengan kekuatan perasaan
Mengatasi panjangnya akal fikiran, sebagai fitrah dan anugerah
Hasil doa seorang lelaki
Namun Ya Allah
Biarlah kejadianku memberi guna, bengkok yang ada manfaatnya.

Kiranya daku menjadi seorang isteri
Kurniakanlah padaku kekuatan
Menjadi tulang belakang seorang suami, seorang mujahid
Pengembang perjuangan disayap kiri
Diadun dengan kelembutan
Menjadi teman sejati, sahabat setia, penyejuk mata, pembina semangat dan penguat jiwa
Seanggun peribadi Saidatina Khadijah
Ketenangan baginda Rasulullah, utusan Allah.

Bebas jiwa dari belenggu keperempuanan
Yang memiliki sembilan nafsu
Merdeka dari kepentingan peribadi
Setulus Siti fatimah yang seringkali ditinggalkan suami, Saidina Ali
Dihantar pemergiannya tanpa bertanya
“Bila kan pulang?”
Disambut kepulangannya dengan penuh khidmat dan kemanisan
Bersulamkan kemesraan
Rumahtangga adalah syurga
Wadah suburnya CINTA ketuhanan, Ubudiyyah
Akal yang tunggal tidak dibiarkan
Hanya berlega dicelahan periuk belanga
Di sebalik lipatan lampin anak
Menjangkau kebangkitan Islam di alam sejagat
Menjadi pentadbir di sebalik tabir!!!

Namun Ya Tuhan
Siapalah daku untuk memiliki
Watak wanita solehah pendamping nabi
Dek berkaratnya mazmumah yang bersarang dihati
Maka kurniakanlah daku
Sekeping hati yang sentiasa insaf
Hak seorang suami
Tidak kan mungkin kupenuhi
Biar telah ku jilat nanahnya yang berlelehan
Biar telah ku tadahkan wajahku
Buat mengusap debu di telapak kakinya……

Dan sememangnya daku mengimpikan
Watak seorang ibu
Yang bakal melahirkan
Putera-putera secekal Musa’ab bin Umar
Menggadai dunia demi kasih Tuhannya
Segigih Zubair Ibnu Awwaam
Yang diangkat Rasul sebagai ‘hawarij’nya
Hasil didikan seorang wanita bergelar ibu
Jua
Memiliki puteri setabah dan seteguh Masyitah
Rela direbus demi mempertahankan iman
Atau sesuci Maryam – seluruh hidupnya
Mengabdikan diri kepada Tuhan


Meskipun daku bukan ibunya yang memiliki peribadi semurni Siti Fatimah
Ibu Syeikh Abdul Kadir Jailani
Yang tiap titis darah mampu berzikir ke hadrat Ilahi
Namun
Mudah-mudahan zuriatku
Bakal menampilkan
Mujahid-mujahid yang rindu memburu syahid
Srikandi-srikandi yang mampu memakmurkan muka bumi Allah
Dengan ketaqwaan, kesolehah, ramainya ummat Rasulullah
Yang saling redha berkorban dan dikorbankan
Buat menyemarakkan Islam di akhir zaman
Sebagaimana kisah seorang ibu yang telah kematian
Putera-puteranya di medan jihad :
“Mereka telah berbahagia sebagaimana aku bahagia.
Aduhai, kiranya aku punya seorang anak lagi,
Kurelakan dia turut gugur di jalan Ilahi!”
Dan seandainya daku ditaqdirkan kehilangan mereka
Setenang Ummu Faisal
Yang tidak menjadikan kematian suami dan anak-anaknya
Halangan
Kecintaan padaMu Ya Ilahi

Redhailah daku yang dhaif ini sebagai hambaMu
Inilah pengaduan harap dan munajat
Kiranya KekasihMu sendiri pernah menyatakan
“ Kulihat kebanyakan dari isi neraka itu adalah wanita……..”

wassalam,
Damba CintaNya
FirdausSyahid

Perkongsian: Suatu berita...

0 Komen

Suatu "berita besar" telah tiba. Amat menggemparkan dada orang yang mula-mula mendengarnya. Amat besar hingga berita ini lebih penting dari urusan perniagaan, urusan kenegaraan, urusan pendidikan anak-anak bahkan urusan ketenteraan dua negara yang akan berperang.

Berita ini adalah urusan Allah swt. Ia adalah ketetapan dan ketentuan Allah dalam sistem kehidupan yang langsung tidak terpisah dengan urusan langit dan bumi, urusan masa lalu dan masa hadapan.

Berita ini merentasi kaum Quraisy di Tanah Arab seterusnya kepada generasi yang sezaman dengannya dan zaman selepas itu. Ia merentasi setiap tempat dan melalui setiap detik kehidupan.

Kedatangannya memisahkan yang haq dan batil. Mewujudkan golongan yang beriman dengannya dan golongan yang berpaling. Menyebabkan orang berjuang bermatian kerananya dan orang menentang bermatian juga kerananya.

Belum pernah terjadi dalam sejarah manusia berita sebesar ini yang meninggalkan pengaruh dan kesan yang amat besar sebagaimana yang ditinggalkan oleh Islam.

Berita ini iaitu Islam meninggalkan konsep dan nilai kehidupan yang mana sebahagian bangsa Arab Quraisy tidak terfikir pun bahawa berita ini akan membawa mereka kemercu dunia, menguasai dunia dengan membawa rahmat keseluruh alam.

Umat Islam hari ini, seperti yang dihadapi oleh bangsa Quraisy dahulu tidak dapat melihat dan mengukur tabiat berita ini. Tidak dapat memastikan kebenaran yang tersembunyi di dalamnya. Tidak dapat memahami peranan yang mereka harus mainkan kecualilah mereka mendapat hidayah petunjuk dari Allah agar mereka tetap terus mengimani dan berjuang dengan agama ini pada zaman mereka dan zaman-zaman yang akan datang.

Maka seharusnya sajak ini merungkaikan berita ini dan peranan muslim yang mengimaninya.. Kamilah pewaris yang membawa hidayah kepada manusia, Kamilah rahsia menyuluh cahaya kepada bumi, Awan kami mengandungi kilat dan sinar yang terang benderang, Jasad kami adalah cerminan kebenaran, Ketahuilah, Tanda-tanda kebenaran itu ialah dengan adanya muslimin yang beriman..

Selasa, Februari 01, 2011

Pengajaran buat Si Tukang Kayu

0 Komen

Pada satu masa, terdapat seorang tukang kayu yang semakin dimamah usia. Dia bercadang untuk bersara daripada kerjanya sebagai tukang kayu yang bertanggungjawab membuat rumah di sebuah syarikat pembinaan. Dalam fikirannya lagi, dengan tenaga yang semakin kurang, dia ingin menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama keluarga tersayang.


Tukang kayu ini tidak akan menerima lagi upah sekiranya beliau bersara. Tetapi, dia tetap dengan keputusannya. Lalu, tukang kayu itu memberitahu majikannya tentang hasratnya tersebut.

Apabila majikannya mendengar luahan hati tukang kayu yang berpengalaman itu, dia merasa sedih dan juga memujuk tukang kayu tersebut agar menarik balik keputusannya. Akan tetapi, tukang kayu itu tidak berganjak dan tetap dengan niat untuk bersara. Justeru itu, majikannya bersetuju dengan keputusan tukang kayu itu, tetapi dengan satu syarat. Permintaan terakhir majikannya ialah menyuruh tukang kayu itu membina sebuah rumah buat kali terakhir.

Tukang kayu itu merasa gembira dan bersetuju dengan syarat yang telah ditetapkan oleh majikannya. Tetapi, kegembiraannya untuk bersara mengatasi semangat dan kemahiran yang ditunjukkan semasa bekerja. Akibatnya, rumah yang dibina buat kali terakhir itu telah disiapkan dengan sambil lewa, tanpa penelitian khusus serta menggunakan kayu yang rendah kualitinya. Rumah itu berjaya disiapkan dalam jangka masa yang singkat.

Apabila majikannya melihat rumah itu, dia mengambil kunci pintu utama rumah tersebut dan memberikannya kepada tukang kayu itu seraya berkata "Inilah hadiah persaraan daripada saya kepada kamu. Selamat bersara."

Tukang kayu itu terkejut besar dengan kata-kata majikannya. Beliau tidak menyangka bahawa rumah yang dibinanya buat kali terakhir itu adalah rumah untuk kegunaannya sendiri. Alangkah menyesalnya dia kerana menyiapkan rumah itu secara tergesa-gesa dan jika dia tahu sebelum itu, dia akan membina rumah tersebut dengan penuh teliti dan menggunakan bahan yang bermutu tinggi.

Pengajaran

Senario ini mungkin pernah berlaku di dalam hidup kita seharian. Hidup ini boleh diibaratkan sebagai membina sebuah rumah untuk kegunaan dan kemudahan kita di masa hadapan. Kita pula sering mengambil mudah dengan kehidupan sekarang, kita merasa selesa kerana ibu bapa kita sentiasa berada di samping kita, memberi sokongan dan membantu kita. Tetapi, sedarkah kita apabila mereka tiada nanti, siapakah yang bertanggungjawab ke atas hidup kita? Tak lain tak bukan DIRI KITA SENDIRI. Belajarlah bertanggungjawab dan bijak merancang masa depan kita. Gunakan masa muda ini dengan belajar bersungguh-sungguh dengan cita-cita untuk menjadi seorang manusia berguna kepada agama, keluarga, bangsa dan negara.

Kata-kata hikmat:

"Berusahalah dengan ikhlas tanpa memikirkan balasan semata-mata, kerana semakin tinggi keikhlasan di dalam diri, semakin tinggilah balasan baik yang akan diperolehi dalam keadaan sedar atau tidak."


Moga dpt manfaat dari kisah ni, insyaAllah...

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Akhirul Kalam...