Assalamua'laikum wbt,
Hari ini ana menadah kerinduan kepada ruang maya meskipun hampir setiap hari ana mengintai blog ana yang tidak seberapa ini hanya untuk melihat bilangan viewers. Ingin sekali hati ini berbicara dan berkongsi rasa kesedihan yang kian bertapak dihati. Namun, biarkanlah kesedihan ini ditatap hiba oleh Sang Pencinta ku, Allah rabul 'izzati.
Pemikiran ana melayang sebentar; menerawang ke koleksi video yang disusun rapi dalam minda ana. Terngiang-ngiang suara ketenangan datuk ana berkongsi rasa pengalaman beliau bermusafir bersama sepupu lelaki ana ke Kemboja baru-baru ini untuk menyambut Hari Raya 'Aidil Adha bersama saudara seislam disana.
Kembara kehidupan ana diulang tayang sebentar untuk direkodkan dalam ruang perkongsian ini. Ahad lepas bermula detik bermakna buat kami sekeluarga lantaran kebosanan menghabiskan hari-hari minggu yang sama. Hari itu jualah hari yang cukup membuat ana merindui setiap detik-detik berharga sepanjang hari setelah beberapa bulan tidak bersua muka dengan datuk kesayangan.
Bermula Hari Bermakna...
Jam menunjukkan pukul 8.30 pagi, ummi mengingatkan kami adik-beradik agar bersiap-sedia untuk menjemput datuk di lapangan terbang pada pukul 12.00 tengah hari.
Dipendekkan cerita, kami terlewat untuk bertolak ke lapangan terbang atas kekangan. mujurlah ibu saudara kami tiba awal disana dan menjemput datuk terlebih dahulu. Kami berjanji untuk bertemu dimasjid KLIA selepas zohor sementara datuk dan sepupu menunggu masa untuk meneruskan penerbangan seterusnya ke negeri serambi mekah; Kelantan.
Masa berlalu pergi, akhirnya kami tiba di masjid KLIA. Dengan langkah yang sedikit teruja, kami masuk ke rumah Allah yang begitu gah binaannya. Hati ana bertambah pilu, setiap derapan langkah disusuli dengan tangisan dihati, minda mula mengimbau kenangan bersama sahabat-sahabat sepersatuan dikala sejarah hidup yang masih segar diingatan dan wajah mereka (sahabat2) tergambar jelas tidak pernah terpadam walau sesaat. Ya Allah, betapa ana menanam kerinduan kepada mereka semua. Mungkin inilah yang dinamakan kemanisan beukhuwwah. Drama ibarat bermula kembali.
Kembali ke alam nyata, ana bersama adik-beradik perempuan seperti biasa lokasi ziarah pertama ialah bilik air untuk melangsaikan hajat. Manakala adik-beradik lelaki bersama ayah ana menyinggah ke ruangan wudhu' untuk mengambil wudhu' sebelum solat sunat. Seketika itu, ana melihat wajah-wajah ketenangan keluarga ana sebaik sahaja memasuki rumah Allah ini. Kemudian, kami menuju ke ruang solat untuk bertemu dengan datuk tersayang. Panggilan daripada ibu saudara memecah kebingungan kami mencari sudut datuk bersemayam.
Dari jauh kelihatan kelibat datuk menghadap kami. Ana yang sedikit ditarik ni'mat untuk melihat, hanya mampu melihat fizikalnya dalam keadaan kabur, namun, hati ini tetap gembira meni'mati pertemuan yang cukup istimewa. Ibu dan bapa saudara menyapa mesra kedatangan kami. Pada ketika itu, hanya perempuan sahaja berkunjung dahulu bersua muka dengan datuk. Sementara lelaki sedang menghabiskan rakaat terakhir solat mereka.
Kami adik-beradik perempuan bersalaman dan membuat lingkaran halaqah sambil menatap wajah datuk yang penuh dengan makna. Kami yang sepi memulakan bicara semput bertanyakan soalan biasa kepada datuk. Datuk merenung wajah satu persatu sambil berbicara mesra menggunakan loghat Kelantan. Keadaan mula menyepi semula pabila rindu hanya terucap dengan bahasa badan. Datuk menunduk sebentar ibarat memikirkan sesuatu, wajah manis kelihatan jelas diwajahnya. Beliau segera memberikan ana duit untuk dikongsikan bersama adik-adik dan terbit daripada mulutnya doa "barakallu fina 3X" sambil melihat cucu-cucunya. Masa ibarat terhenti seketika, ana merenung dalam wajah tua datuk yang dihiasi dengan penuh ketenangan. Mata mahu berkaca. hati mahu berbicara. Ana merasakan kelainan pada aura dan susuk tubuhnya.
Kehadiran kumpulan lelaki keluarga ana menerjah kebisuan. Ayah dan adik-adik lelaki menyalami datuk dan masing-masing bertanya khabar. Ayah yang kelihatan sedikit sihat daripada sebelum ini menghangatkan suasana dengan usikan mesra. Datuk mula bercerita keadaan Aidil Adha di Kemboja. Alhamdulillah, bertemankan sepupu ana yang berusia 13 tahun banyak membantu datuk meneruskan hari-hari disana. Berbekalkan kelebihan sepupu ana yang peramah dan sedikit matang memudahkan datuk untuk serasi dengannya sehingga datuk berseloroh 2X "Hua 'Alamu Minni". Kami tergelak mendengar cerita datuk.
Datuk meneruskan cerita dimana beliau menggambarkan betapa fakirnya masyarakat disana. Suasana kampung pendalaman. Jalan berlopak-lopak. Walaupun lembu dihantar khas dari Malaysia, tapi, kesemuanya menjadi kurus kering sampai terlalu mudah untuk disembelih iaitu hanya perlu "kepakkan" kepala dan kerja-kerja penyembelihan terlalu mudah. Rumput-rumput liar dikawasan mereka tidak menjamin "kesihatan" si lembu. Lembu dilihat seperti menyerah diri lantaran terlalu senang untuk disembelih.
Selingan cerita diisi dengan gelak tawa. Hanya lelaki-lelaki memainkan peranan menghidupkan suasana yang hening. Kami dikejutkan dengan panggilan daripada pengurusan penerbangan bila mana masa penerbangan diawalkan setengah jam. Kami berkejar ke Lapangan Terbang. Datuk dan sepupu menaiki kereta ibu saudara dan meneruskan perjalanan kesana. Kami tersalah arah menyebabkan keterlewatan untuk bertemu buat kali terakhirnya. Kami pasrah atas ketentuanNya, dan bersyukur dapat bertemu sebelum berangkat.
Sebelum itu, ana dan ummi serta dua orang adik ana berkejar seusai tiba diperkarangan airport. Berkesempatan bertemu ibu saudara yang masih berada disitu. Ibu saudara menahan tawa dek kelakuan kami berempat mencari-cari tempat keberadaannya. Ummi mula berbual panjang dan antara perkara yang sempat ana gezetkan dalam minda ana berkenaan dengan penerbangan 'bibik' ibu saudara. Ana kira, peristiwa yang melucukan.
Pada ketika itu, bibik perlu dihantar pulang ke Indonesia. Diambang barang dagangan yang cukup berat membuatkan ibu saudara perlu membuat pilihan sama ada membayar tambang 9ratus lebih atau meninggalkan barang tersebut. Ibu saudara bertanya kepada bibik "Emm, saya tengok barang awak takde lah banyak sangat, tapi berat. Awak isi apa dalam kotak tu?" Bibik menjawab"macam2 bu. sambil menahan gelak." Ibu saudara bertanya lagi: " boleh tak awak bukak kotak ni untuk kurangkan bebanan" Bibik membukanya dan mengeluarkan sedikit barang yang tidak diperlukan. Ibu saudara menjawab" patutlah awak kata macam2, rupa-rupanya awak bawak cawan, pinggan, periuk.. sambil menahan tawa."
Setibanya ditempat pemeriksaan, bunyi lampu menandakan barang logam terdapat dalam bungkusan barangan tersebut. Terpaksalah buka sekali lagi, dan mendapati adanya beberapa bilah pisau yang masih tertinggal. Orang disekeliling hanya memandang pelik. Bibik hanya mampu mengatakan :" patutla, ada pisau lagi.. (nada bersahaja seoalah2 mahu memberitahu orang sekeliling agar faham dengan apa yang berlaku)" Barang dipunggah dihadapan orang ramai. Ibu saudara yang sibuk membantu cuba mengawal keadaan yang "memalukan".
Sebagai informasi tambahan, bibik merupakan seorang yang jujur, lurus bendul, serba salah dan bersahaja.
Mungkin untuk penutupan agak kurang untuk berbahasa, pendek kata, sejurus selepas itu kami pulang ke rumah. Tamat.
0 Komen:
Catat Ulasan