Sabtu, Januari 16, 2010

Al-Qur`an Mempersonakan Ramai Cendikiawan (ii)

0 Komen
~ بسم الله الرحمن الرحيم ~

Sambungan daripada entri yang lepas..teruskan membaca :)

Yvonne Ridley
Yvonne Ridley adalah seorang wartawan Daily Express di Britain. Beliau telah dilahirkan dalam keluarga Protestant dan menyanyi di sekolah Hari Sunday di kampungnya di Utara England. Beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang Islam kecuali cerita yang mengatakan bahawa Islam menindas wanita, penuh dengan kejahatan dan agama yang ganas. Vyonne Ridley telah masuk ke Afghanistan secara tidak sah lalu ditangkap oleh Taliban. Semasa berada di dalam tahanan Taliban, Ridley berfikir yang bukan-bukan tentang Taliban dan menunggu sahaja saat dia akan dikerjakan oleh Taliban yang sangat ganas ini seperti yang dibayangkan oleh Presiden Bush.

Menurut Ridley orang yang paling beliau ingin temui ialah Mullah Omar. Beliau ingin bertanya kepada Mullah Omar mengapa mereka melayan wanita-wanita Islam dengan buruk sekali. Seorang Taliban telah bertanya kepadanya sama ada beliau mahu memeluk Islam atau tidak. Ridley tidak menjawab pertanyaan tersebut tetapi sebaliknya berjanji sekiranya beliau dibebaskan beliau akan mempelajari agama Islam. Setelah dibebaskan beliau telah membaca al-Qur`an dan ingin mengetahui bagaimana pandangan al-Qur`an tentang wanita.

Pandangan Ridley Tentang Wanita Dalam Islam dan Barat

Menurut Ridley, dalam usahanya untuk mempelajari tentang Islam, beliau terlebih dahulu mengkaji kenyataan al-Qur`an tentang wanita termasuk undang-undang pemilikan harta dan hukum-hukum penceraian. Menurut Ridley beliau "tercengang" apabila membaca al-Qur`an dan berfikir beliau sedang membaca satu undang-undang yang ditulis oleh peguam penceraian dan Hollywood. Beliau sangat gembira kerana dalam al-Qur`an wanita-wanita mempunyai hak yang sama dalam pendidikan dan kerohanian tetapi al-Qur`an juga mengiktiraf beban tambahan yang ditanggung oleh wanita dalam melahirkan anak, dan menyusukan anak.

Menurut Ridley, pristiwa 11 September 2001 di mana serangan dilakukan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York dan Pentagon yang dikaitkan dengan "Pengganas Islam" telah menyebabkan perkara terbaik dan terburuk bagi Islam. Selepas peristiwa tersebut ramai masyarakat Britain seperti beliau membaca al-Qur`an dan manuskrip Islam untuk mencari surah mana yang menyuruh umatnya mengganas. Menurut jawapan yang dicari mereka tidak ditemui tetapi sebaliknya mereka menemui banyak ajaran mulia seperti kehidupan kekeluargaan yang kini sudah tidak wujud di Barat. Ini menyebabkan Islam menjadi agama yang paling cepat berkembang dan inilah yang menyebabkan negara-negara bimbang. Dalam mengulas tentang al-Qur`an beliau menyatakan bahawa al-Qur`an merupakan satu rujukan yang cukup lengkap dan canggih.

Kini Yvonne Ridley telah pun menganut agama Islam dan menjadi seorang tokoh pejuang hak asasi manusia. Beliau juga bergiat dalam arena politik dengan menyertai dan bertanding dalam pilihanraya dalam sebuah parti baru yang bernama Respect. Dalam memperjuangkan Islam, beliau pernah berkata bahawa beliau pernah merasai keadaan yang terburuk menimpa dirinya dan menganggap cabaran yang beliau hadapi sebagai seorang wanita Islam yang menutup aurat sebagai kecil sahaja.

Khadija Abdul Qaahar

Khadija Qaahar merupakan seorang wanita yang berasal dari Kanada. Beliau merupakan seorang pemilik syarikat penerbitan dan juga pemilik laman web Jihad Unspun. Kesah hidupnya yang berliku-liku menjadikan beliau sebagai seorang pejuang Islam yang gigih. Nama asal beliau ialah Bev Giesbrecht.

Semasa zaman kanak-kanaknya Khadija Abdul Qaahar merupakan seorang anak angkat yang cacat. Khadija menghabiskan zaman kanak-kanaknya di hospital sehingga beliau menyedari bahawa beliau akan mati sekiranya tidak belajar berjalan. Khadija telah melakukannya dengan mencuri keluar dari hospital pada malam hari dan jatuh tersembam mukanya sehingga menyebabkan beliau secara ajaib sembuh dari penyakitnya.

Pada ketika itu Khadija sudahpun dewasa kerana beliau telah meninggalkan rumah ketika berumur 13 tahun, mengandung ketika berumur14 tahun, berkahwin ketika berumur 15 tahun dan bercerai ketika berumur 17 tahun dan berkahwin semula ketika berumur 18 tahun dan bercerai kali kedua ketika berumur 20 tahun. Beliau dipaksa untuk berpisah dengan anaknya yang berumur enam tahun ketika beliau berumur 21 tahun. Menjelang usianya 22 tahun, beliau menyedari bahawa beliau tidak akan menjadi orang yang serupa dengan orang lain. Beliau bersumpah bahawa beliau tidak akan lagi menjadi mangsa, mencuri atau meminjam. Beliau tidak akan merasai kelaparan lagi. Beliau menyedari bahawa segala pancaroba yang dialaminya merupakan sumber kekuatan. "Apabila anda mengatasi rintangan anda akan mendapat kekuatan". Menjelang umurnya 23 tahun, beliau memulakan perniagaannya dan tiada sesuatupun yang boleh menghalang beliau. Beliau mula membuat keuntungan yang besar. Zaman kanak-kanaknya memberi kesan terhadap dirinya dan ketika berumur23 tahun, beliau menjadi seorang yang ketagih arak. Doktor mengatakan bahawa beliau hanya ada peluang untuk hidup hanya satu tahun sahaja kecuali beliau berhenti daripada tabiat meminum arak. Namun beliau tidak dapat melakukannya. Beliau tidak boleh berhenti daripada meminum minuman keras. Dalam saat-saat yang mengecewakan beliau memanggil Tuhan Apakah yang telah Tuhan berikan kepadaku?. Tiada sesuatupun dan aku terlalu menderita dan hanya layak untuk ditembak sahaja. Lalu Khadija berkata: "Ya Tuhan sekiranya engkau wujud dan aku tak percayakan engkau tetapi sekiranya engkau secara kebetulan ada maka buangkanlah daripadaku segala penderitaan ini dan aku benar-benar menderita dan aku tak mahu minum lagi". Dia Khadija dimakbulkan tuhan dan dia tidak lagi minum. Bagi Khadija ini adalah satu tindakan Tuhan dan ketika itu beliau tidak lagi menafikan kewujudan Tuhan. Malangnya ketika itu Khadija tidak meneruskan pencarian Tuhan. Selepas berlakunya peristiwa 11 September 2001 yang memusnahkan Pusat Dagangan Dunia di  New York, Khadija mula mempelajari Islam.

Namun pendekatan kajian beliau bersifat kewartawanan.  Apabila beliau membaca terjemahan al-Qur`an dalam bahasa Inggeris dan membandingkannya dengan Bibble dan Torah yang pernah dibacanya, beliau mengatakan bahawa al-Que`an bukan sebuah buku biasa. Beliau mengatakan bahawa ia tidak pernah tahu bahawa orang-orang Islam percaya kepada para nabi dan hari akhirat. Semakin banyak beliau membaca mengenai Islam semakin bertambah minatnya kepada Islam. Apa yang menarik beliau kepada Islam ialah kesempurnaan agama ini. Beliau juga begitu  tertarik dengan toleransi, keadilan prinsip-prinsip yang telah diletakkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Persoalan besar yang dihadapi oleh Khadijaj ialah tentang ketuanan Jesus Christ. Akhirnya Khadija telah mengucap dua kalimah syahadah pada bulan April 2002.

Johann Wolfgang von Goethe
Goethe merupakan seorang penyair, novelis, penulis drama dan ahli falsafah tabii German dan dianggap sebagai seorang tokoh besar dalam literatur Barat. Beliau dilahirkan pada tahun 1749 dan meninggal dunia pada tahun 1832.

Goethe dipercayai beragama Islam. Tulisan-tulisan beliau banyak yang memuji Islam dan Nabi Muhammad. Dalam satu tulisan beliau yang dipetik oleh T.P. Huges dalam buku berjudul Dictionary Of Islam Goethe dilaporkan berkata"Berapa kerap sekalipun kita membacanya (al-Qur`an)..., ia akan menarik minat kamu, menakjubkan, dan pada akhirnya mengukuhkan rasa hormat kepadanya...gayanya, berdasarkan kepada kandungannya dan tujuan adalah tegas, hebat, sesekali dahsyat dan benar-benar menakjubkan.

Professor Ibrahim Stoke Dan Halimah Stoke

Professor Ibrahim Stokes pada asalnya bernama Abraham Stokes. Sebelum menganut Islam beliau teringin mengetahui tentang Islam. Beliau merupakan seorang professor dalam bidang kajibumi (geologi). Peristiwa bagaimana beliau beriman kepada Allah s.w.t. diceritakan oleh beliau sendiri dalam satu program IIS Islam yang berpusat di California, yang disiarkan oleh sebuah stesen tv Malaysia pada tahun 80-an. Menurut beliau sendiri beliau ingin tahu tentang al-Qur`an dan secara kebetulan terjumpa al-Qur`an terjemahan oleh Marmaduke Pithall, seorang Inggeris yang beragama Islam, di sebuah perpustakaan.

Beliau telah meminjam al-Qur`an terjemahan tersebut dan membawa bersama-samanya ketika beliau membuat kerja lapangan di Gunung Rocky. Semasa berehat, beliau telah membaca al-Qur`an tersebut dan beliau tertarik dengan kandungan al-Qur`an dan terus beriman kepada Allah di situ juga.

Pengajaran Dari Peristiwa-peristiwa Tersebut

Peristiwa yang menunjukkan ramai golongan intelektual yang terpesona dengan kandungan al-Qur`an lalu menganut Islam menunjukkan dengan jelas bahawa al-Qur`an itu perlu dibaca, difahami, dipelihara dan dikaji bukan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah s.w.t, bahkan untuk mendapat pengajaran dari al-Qur`an, maka seseorang yang membaca al-Qur`an harus memahami makna, membuat kajian isi kandungnya dan menjauhi perkara yang dilarangnya.

Al-Qur`an Mempersonakan Ramai Cendikiawan (i)

0 Komen

بسم الله الرحمن الرحيم ~
Assalamualaikum...w.b.t
Hari ana tidak akan mengarang tetapi ana ingin memetik satu tajuk yang menarik daripada buku yang baca. Tajuk buku ini ialah"Pasak Pengukuhan Akidah Menerusi Penghayatan Sains Dalam al-Qur`an" hasil karya Dr. Mohd. Arip Hj. Kasmo. Dalam kandungan buku ini banyak bahagian, satu bahagian pun banyak tajuk kecilnya...semua apa yang terkandung dalam buku ini semuanya menarik..tapi ana pilih satu tajuk kecil yang bertajuk "al-Qur`an Mempersonakan Ramai Cendikiawan".

Sebelum ana meneruskan tajuk ini, ana nak cerita sedikit mengenai latarbelakang penulis ni. Dr. Mohd Arip b. Kasmo dilahirkan di Batu Pahat Johor pada tahun 1957. Mendapat Pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tenaga Sepakat. Kemudian Melanjutkan pendidikan di Sekolah Menengah Inggeris Yong Peng sehingga tingkatan tiga dan berpindah ke Sekolah Menengah Sains Johor di Keluang, Johor. Setelah memperolehi Malaysian Certificate of Education (MCE), beliau telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Blackpool College of Science and Art. Blackpool, Lanchashire. Pada tahun 1978, beliau melanjutkan pelajaran di University College of Swansea, Wales dalam bidang Zoologi. Setelah kembali ke Malaysia, beliau menjadi guru sains di Sekolah Menengah Sultan Alauddin Ria`ayat Shah, Pagoh, Muar dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu Seremban. Beliau memperolehi Sarjana Pendidikan dan PhD dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Kini beliau bertugas sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Umum, UKM, Bangi. Modul Penghayatan Sains Dalam al-Qur`an merupakan judul tesis PhD beliau.

Al-Qur`an Mempersonakan Ramai Cendikiawan

Hadith Nabi Muhammad s.a.w. menyatakan bahawa "al-Qur`an adalah mukjizat yang akan dijaga Allah sehingga hari Kiamat dan apabila ada orang yang musyrik membacanya mereka akan kata bahawa al-Qur`an bukan daripada manusia atau makhluk-makhluk lain". Hadith Nabi mengenai al-Qur`an ini terbukti kebenaran apabila terdapat ramai cendikiawan yang terpesona dengan al-Qur`an lalu menganut Islam. Di antara mereka ialah:

Dr. Jefry Lang

Dr. Jefry Lang merupakan seorang pensyarah dalam bidang matematik di University of Kansas di Amarika Syarikat. Beliau dilahirkan pada tahun 1954 dalan keluarga Katholik di Bridgeport, Connicticut. Selama 18 tahun beliau menuntut di sekolah Katholik dan pelbagai persoalan tentang ketuhanan dan agama Kristian tidak memuaskan hati beliau. Menjelang umurnya 18 tahun beliau telah menjadi seorang ateis. "Sekiranya ada Tuhan dan Dia amat mengasihani mengapakah wujud penderitaan di dalam dunia ini". Itulah soalan yang sering muncul dibenaknya ketika itu. Sebagai seorang pensyarah muda dalam bidang matematik di University of San Francisco, beliau telah menemui Tuhan sebagai satu realiti. Perkara tersebut telah ditunjukkan oleh beberapa orang rakannya yang beragama Islam di universitinya. Seorang rakannya telah memberikan kepada beliau senaskah al-Qur`an dan beberapa buah buku mengenai agama Islam. Beliau telah membaca al-Qur`an secara sendirian dan beliau telah terpesona oleh al-Qur`an. Menurut beliau, dua surah yang pertama yang telah dibacanya adalah sangat menarik hati. Apabila beliau ditanya mengapakah dia tertarik dalam al-Qur`an sedangkan al-Qur`an adalah dalam bahasa Arab yang asing baginya beliau berkata "Pelukis mampu menyebabkan mata sebuah potrait seakan-akan mengekori anda dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi adakah terdapat seorang pengarang menulis satu tulisan yang menjawab persoalan harian anda?"."Setiap malam aku akan merumuskan soalan-soalan dan penafian dan akan menemui jawapannya pada hari esoknya. Ia kelihatan seolah-olah pengarang al-Qur`an membaca pemikiranku", kata Lang

Kepada pertanyaan mengapa beliau mendapati bahawa al-Qur`an sungguh menawan baginya sedangkan ia ditulis dalam bahasa Arab. Lang menjawab: "Mengapakah seorang bayi dapat ditenangkan oleh suara ibunya?" Beliau berkata membaca al-Qur`an dapat memberi ketenangan jiwa kepadanya dan kekuatan dalam saat-saat beliau menghadapi kesusahan. Kini Dr. Jeffrey Lang terus melaksanakan tugas sebagai seorang da'i dengan menulis berbagai-bagai tajuk buku dan menyampaikan kuliah Islam. Antara buku karangan beliau ialah "Even Angels ask, A journey to Islam". Dalam buku tersebut Dr. Lang berkongsi dengan para pembacanya pandangan-pandangan yang telah membawanya kepada penemuan Islam dan peningkatannya dalam agama Islam.

Yusuf Islam

Yusuf Islam atau Cat Steven merupakan seorang penyanyi Inggeris yang sangat terkenal pada tahun 70-an. Yusuf Islam dilahirkan dalam sebuah keluarga Kristian Katholik yang kaya raya kerana perniagaan dalam bidang muzik. Menurut Yusuf Islam beliau telah diajar bahawa Tuhan itu wujud, tetapi menurut Yusuf dalam agama Kristian, tiada hubungan terus dengan Tuhan dan oleh sebab itu mereka terpaksa bergabung dengan Tuhan melalui Jesus Christ dan Jesus Christ merupakan jalan untuk sampai kepada Tuhan. Yusuf Islam menerima ajaran tersebut tetapi beliau tidak menerimanya bulat-bulat. Yusuf Islam  memerhatikan patung-patung Jesus Christ tetapi mengikut pandangannya patung-patung tersebut hanyalah batu-batu tanpa nyawa. Dan apabila mereka berkata bahawa Tuhan itu tiga, beliau menjadi hairan.

Penyanyi Pop

Menurut Yusuf Islam, lama kelamaan beliau mengabaikan agama Kristian dan beliau mula menyanyi dan bercita-cita menjadi seorang penyanyi yang terkenal. Semua yang dilihat di filem-filem dan media mempengaruhi beliau dan beliau berfikir bahawa itulah tuhannya, dan matlamat untuk mencari wang. Menurut Yusuf beliau mempunyai seorang bapa saudara yang memiliki sebuah kereta yang cantik dan berkata: "Dia telah berjaya. Dia mempunyai wang yang banyak". Orang-orang yang berada di sekeliling Yusuf telah mempengaruhinya untuk berfikir bahawa itulah matlamat yang sebenar dan dunia ini adalah tuhan mereka. Ketika itu Yusuf Islam telah terpengaruh dan berpendapat bahawa itulah cara hidup yang beliau mahukan, iaitu mencari wang yang banyak dan hidup bahagia. Idolanya ketika itu ialah penyanyi-penyanyi pop. Beliau mula menyanyi dan menulis lagu, tetapi jauh di dalam lubuk hatinya beliau mempunyai perasaan kemanusiaan dan berkata bahawa sekiranya ia menjadi kaya ia akan membantu orang-orang miskin. Akhirnya beliau menjadi sangat terkenal dan ketika itu masih lagi remaja tetapi nama dan gambarnya sudah tersebar di seluruh dunia. Menurut Yusuf Islam media telah membesar-besarkan dirinya dan oleh sebab itu beliau sendiri menjadi lebih  besar dari hakikat kehidupan itu sendiri dan caranya ialah dengan menjadi tahi arak dan menagih dadah.

Jatuh Sakit

Setahun selepas kejayaannya, beliau sakit tenat dan dijangkiti penyakit TB dan telah dimasukkan ke hospital. Pada ketika itulah Yusuf mula berfikir apa yang akan terjadi kepadanya. Apakah dirinya hanyalah jasmani semata-mata dan matlamat hidupnya hanyalah memuaskan jasmaninya sahaja. Beliau menyedari bahawa bala ini merupakan satu rahmat kepadanya daripada Tuhan, iaitu peluang untuknya membuka mata. "Mengapakah aku ada di sini? Mengapakah aku berada di katil ini?". Beliau cuba mencari jawapannya. Semenjak itu beliau telah berjinak-jinak dengan pelbagai agama termasuk agama Buddha tetapi agama Buddha bersifat menolak dunia, kemudian agama Zen dan Ching, nemerologi, tarot, dan astrologi. Beliau cuba membaca kembali Bible tetapi tidak menemui apa-apa di dalamnya. Pada masa itu beliau tidak tahu apa-apa Islam. Kemudian apa yang dianggap oleh beliau sebagai sesuatu masjid di Jerussalem di mana ia dipenuhi dengan manusia dan kehidupan sedangkan gereja-gereja dan synagogue (rumah ibadat Yahudi) kosong.

Menerima Hadiah al-Qur`an
Apabila abangnya datang ke London beliau telah membawakan Yusuf Islam senaskah al-Qur`an terjemahan. Abangnya tidak menganut agama Islam tetapi merasai bahawa terdapat sesuatu dalam agama Islam dan berpendapat bahawa Yusuf Islam juga akan menemui sesuatu dalam agama tersebut. Dan apabila Yusuf Islam memperolehi al-Qur`an beliau telah membacanya dan barulah beliau menyedari bahawa semua Nabi diutuskan oleh tuhan dengan membawa ajaran yang sama. Inilah keindahan al-Qur`an . Ia menyuruh manusia berfikir dan tidak menyembah bulan dan matahari. Apabila beliau terus membaca al-Qur`an, ia bercakap tentang do`a, kemurahan hati dan kebajikan. Ketika itu Yusuf Islam belum beragama Islam lagi, namun beliau merasai bahawa al-Qur`an  sahaja yang boleh memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan dan tuhan telah menghantarkan kepadanya, namun ia masih merahsiakannya. Tetapi al-Qur`an berkata dalam pelbagai tingkat. Yusuf Islam baru memahami tingkat yang lain.

Menganut Islam

Setelah lama Yusuf Islam berjinak-jinak dengan Islam akhirnya beliau mengucap dua kalimah Syahadah di hadapan imam besar Masjid Regent Park di London pada tahun 1977 iaitu satu tahun setengah selepas beliau menerima al-Qur`an daripada abangnya. Kini Yusuf Islam menjadi seorang pendakwah Islam yang gigih. Beliau telah menubuhkan Sekolah Islam di London dan aktif dalam kegiatan kebajikan.

Aminah AsSilmi


Sebelum menganut agama Islam Aminah AsSilmi merupakan seorang wanita yang menjadi ketua pembebasan wanita Amerika Syarikat. (Women Liberation). Beliau juga merupakan seorang penganut mazhab Baptist yang sangat kuat berpegang kepada agama Kristian. Sebelum menganut agama Islam, beliau terlalu prejudis dengan orang-orang Islam dan Arab menyebabkan beliau berusaha untuk mengkristiankan mereka. Aminah Assilmi pernah berkata kepada pelajar-pelajar Arab yang sedang menuntut di sebuah sekolah di Amerika Syarikat bahawa satu-satunya jalan untuk mereka selamat ialah dengan mengakui bahawa Nabi Isa sebagai penyelamat mereka.

Menurut Assilmi, pelajar-pelajar Arab tersebut bersikap lembut dan tidak marah kepadanya, malah ada seorang pelajar telah memberikannya senaskah al-Qur`an dan beberapa buah buku Islam. Aminah Assilmi berkata bahawa dengan al-Qur`an dan buku-buku yang telah diberikan oleh pelajar tersebut, beliau berlaku sebaliknya. Beliau tidak menyangka bahawa al-Qur`an yang dibacanya menyebabkan beliau semakin berminat untuk memahami agama Islam. Dan akhirnya beliau telah mengucap dua kalimah syahadah.

bersambung....

Khamis, Januari 14, 2010

Jauhi Sifat Marah

0 Komen
عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ : أَنَّ رَجُلاً قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : أَوْصِنِي. قَالَ
لاَ تَغْضَبْ. فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ: لاَ تَغْضَبْ
(رواه البخاري)

Daripada Abu Hurairah r.a.:
Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berikan daku wasiat. Baginda bersabda: Janganlah engkau marah. Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali.
Baginda tetap bersabda: Janganlah engkau marah.
- Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari. -

Hadis ini menerangkan betapa sifat marah itu perlu dihindari oleh setiap mukmin, kerana marah membawa banyak keburukan terhadap diri sendiri juga terhadap orang lain.


Jangan marah ertinya mengelakkan sebarang sebab yang membawa kepada kemarahan. Ia juga bererti menahan marah bila dia marah. Erti menahan marah ialah menahan dari melaksanakan tuntutan ledakan marah seperti memukul, memaki hamun atau mengamuk

Seseorang yang gagah perkasa dan handal bukan hanya yang mampu beradu tenaga, bahkan juga orang yang mampu menahan marah. Marah diizinkan hanya apabila ia didorong oleh perasaan mahu membela kebenaran kerana Allah,namun mestilah menurut cara hikmah dan batas yang dibenarkan.

  • Marah atau Murka Allah tidak sama dengan makhluk:
Thabit sifat ini pada Allah dan tidak boleh dita’wil lagi, (al-Fath : 6) (Thoha :81) - yakin sifat marahNya tak sama dengan makhluk.
  • Marah terbahagi kepada dua:
1) Sifat marah yang dicela : Apabila lahirnya diluar kawalan dan mengikut hawa nafsu, memaki hamun, mencela, memukul dll.
2) Sifat marah yang dipuji : Apabila mempertahankan yang hak, melihat kemungkaran dan apa yang dibenci oleh Allah.
- contoh : rujuk hadis- hadis mengenainya, kisah Musa bersama kaumnya,Yunus bersama kaumnya.

Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya. Ini berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya, ramai pengikutnya, maka akan tinggilah ego seseorang dan akan menjadi-jadilah pemarahnya. Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka akan kuranglah egonya dan akan kurang jugalah pemarahnya.

Marah ertinya gerakan nafsu diri, seketika meluap darah jantung dari suruhan syahwat utk mempertahankan diri dan utk melepaskan dendam. Cuma kemarahan itu tidak boleh timbul kalau tidak pada tempat dan waktunya. Bila kemarahan telah timbul tidak ditahan dgn fikiran dan akal sebelum dia menjalar, tidak ubahnya dia dengan api yg membakar, darah naik laksana wap, memenuhi otak, sehingga gelap menyelubungi hati sehingga tidak sanggup berfikir. Menyelimuti seluruh urat saraf, penglihatan nampak kecil bila memandang orang, ketika itu pertimbangan hilang, akal tertutup, fikir tersentak, angan-angan habis.

Orang yg marah adalah umpama laksana gua batu yg terbakar api terkurung di dalamnya dan angin masuk juga mengipasnya sehinggalah terkumpullah di dalam gua asap dan wap yang menambahkan panas. Kedengaran api memakan kelilingnya habis menjadi bara Meskipun diusahakan menyiram.. maka air penyiram itu akhirnya akan menjadi minyak tanah menambah kerasnya api. Maka berbanyak-kanlah.. beristighfar itulah senjata orang2 mukmin.

Sifat pemarah ini ada pada hampir semua orang seperti juga hasad dengki. Kenapa kita mesti marah? Telah berkata Mujahid di dalam sebuah bait syair"Takdir Allah telah putus dan putusan Allah telah terjadi. Istirehatkan hati dari kata-kata "Barangkali" dan "Kalau". Setiap kelemahan dan kesilapan manusia adalah ujian untuk kita. Allah mahu melihat bagaimana sabarnya kita dan malunya kita kepada Allah dengan mengucapkan " Inna lillahi wainna lillahi raji'un.".

Pernah ditanya Ahnaf bin Qais, bagaimana dia boleh mengekalkan sifatnya yang lemah lembut itu. Ahnaf menjawab : " Aku belajar dengan Qais bin Asim iaitu pada satu hari sedang berehat-rehat, masuk hambanya membawa panggang besi yang berisi daging panggang yang masih panas. Belum sempat daging itu diletakkan dihadapan Qias, tanpa sengaja besi pemanggang yang panas itu jatuh terkena anak kecil Qais. Menjerit-jeritlah si anak, kesakitan dan kepanasan sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat peristiwa itu dengan tenang berkata kepada hambanya yang sedang pucat dan menunggu hukuman " Aku bukan sahaja tidak marah kepada kamu tetapi mulai hari ini aku akan membebaskan kamu." Begitulah sopan santunnya dan pemaafnya Qais bin Asim" Kata Ahnaf mengakhiri ceritanya.

Bukannya Qais tidak menyayangi anaknya tetapi Qais memandang segala kejadian itu adalah takdir dari Allah. Jikalau dia bertindak memarahi hambanya, maka hakikatnya dia memarahi Allah. Lagi pula hambanya tidak sengaja. Dia redha dengan ujian yang ditimpakan kepadanya. Tidak ada di dalam kamus hidupnya perkataan “kalau atau barangkali”. Hatinya tidak terasa dia " tuan" kerana apa yang ada padanya dirasakan amanah dari Allah. Yang bila sampai ketikanya Allah akan ambil kembali.


Kita mesti ubati hati kita. Kita kita mesti membuangkan rasa rasa "ketuanan" kita yang menyebabkan kita menjadi pemarah dengan melakukan mujahadatun nafsi.

Di antara langkah yang perlu kita hadapi untuk menghilangkan marah ialah :

a) Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s. w. t akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.

b) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.

c) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

d) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.

e) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam keadaan yang marah.

f) Apabila datang marah, banyakkan baca Ta'awwuz ( A'uzubillahi minas Syaitanirrajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

g) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu kerana wudhu dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.
h) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur

i) Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah.

j) Ingatlah bahawa Allah sentiasa menguji kita dalam pelbagai cara. Allah tidak akan menguji kita jika kita tidak mampu mempuhinya. Allah hanya menguji mengikut tahap keimanan kita terhadap-Nya.

k) Tanamkan sifat sabar dan sentiasa redha dengan apa jua dugaan. Kita wajib beriman dengan Qada’ dan Qadar sama ada baik atau tidak kita perlu terima.

l) Selalu melatih diri untuk memaafkan kesalahan orang lain. Sesungguhnya Allah amat sayang kepada orang yang pemaaf.

m) Jika anda sedang berdiri, maka duduklah, sekiranya duduk, maka bersandarlah, InshaAllah kemarahan akan mulai reda.

Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi. Tegurlah dengan lemah lembut, berhikmah dan penuh kasih sayang. Firman Allah:“Serulah [manusia] kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk”. (An Nahl: 125)

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Akhirul Kalam...